Rabu, Jun 30, 2010

Program Pembentukan Generasi Wawasan


Pentadbiran Kawasan Felcra Sekijang telah mengagihkan barangan makanan bagi Program Pembentukan Generasi Wawasan (PPGW) kepada seramai 33 orang peserta pada 18 Jun 2010. Senarai ini melibatkan peserta bagi 3 buah projek dibawah pentadbiran Kawasan Sekijang iaitu Projek Sekijang ( 27 orang ), Projek Tuang Kajang (3 orang ) dan Projek Sg Lenek III ( 3 orang ).

Program ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan ketua keluarga dalam kehidupan harian.

Mudah-mudahan peserta yang terlibat akan bertambah lagi rasa kesyukuran kehadrat ALLAH swt...Amiin.

Program Tazkirah


Program tazkirah Felcra Sekijang telah dilaksanakan pada 27 Mei, 2010 bertempat di balairaya Felcra Sekijang sebelum majlis mesyuarat agung koperasi ke-22 dijalankan. Ustaz Mohd Mazli bin Yusoh telah dijemput sebagai penceramah undangan. Beliau merupakan adik kepada Ustaz Mohd Zawawi bin Yusoh iaitu pengacara program Halaqah di TV9.

Misi program adalah mencapai matlamat dimana anggota koperasi disuntik dengan ilmu kerohanian yang berguna sebelum bermesyuarat. Sesi sebegini akan diteruskan untuk memberi input berguna selain dapat bermesyuarat. Kehadiran anggota adalah seramai 130 orang.






Pihak kawasan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang khasnya Pengurus Besar Wilayah Johor, Ustaz Mohd Mazli, Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Sekijang dan peserta kerana telah menjayakan program ini. Tidak lupa terima kasih kepada Unit Hal Ehwal Peserta Johor kerana telah memberikan peruntukan.


Terima kasih daun keladi......
Jasa mu semua akan diingati.....

Institusi Peserta Sekijang



Institusi peserta adalah badan perantara pihak Felcra untuk berhubung dengan warga peserta. Institusi ini memainkan peranan yang amat besar bagi menjayakan keharmonian disatu-satu kawasan. Institusi tertinggi dalam pengurusan Felcra adalah Jawatankuasa Kemajuan Projek (JKKP).

Di Felcra Sekijang juga tidak lari daripada mempunyai institusi tersebut. Antara institusi yang terdapat di kawasan ialah JKKP (Projek Sekijang, JKKP Projek Tuang Kajang dan JKKP Projek Sungai Lenek III), WADIRA, Koperasi Peserta Rancangan Persatuan Belia Felcra dan pertubuhan Rakan Muda (Projek Tuang Kajang).

Program Hari Pekerja Tuang Kajang 2010



Tanggal pada 29 April 2010 Felcra Projek Tuang Kajang telah mengadakan program kkhas sempena menyambut Hari Pekerja. Program ini bertujuan untuk menghargai jasa pekerja ladang di Projek Tuang Kajang I & II. Selain daripada itu ianya juga bagi meraikan kejayaan projek yang menerima Anugerah Cemerlang Innovasi tahun 2009. Tahniah...




Antara tetamu yang hadir adalah En Annuar Merican bin Akhbar Merican Pegawai Pertanian Wilayah Johor, Pegawai dari JHEOA, Guru-guru serta peserta projek.

Program dimulakan dengan perarakan kompang dan majlis diselangi dengan tarian zapin, persembahan pakaian beragam sumbangan pelajaran dan akhirnya penyampaian cenderahati kepada pekerja.

Terima kasih kepada AJKKP Felcra Tuang Kajang kerana telah menjayakan program tersebut.

Selasa, Jun 29, 2010

Pertandingan Bola Jaring Anjuran FELDA Kemelah


Pada 22 Mei, 2010 yang lalu telah berlangsung satu pertandingan Bola Jaring yang dianjurkan oleh Belia Felda Kemelah. Pertandingan telah dijalankan di padang Sekolah Kebangsaan Felda Kemelah. Persatuan Belia Karisma Felcra Sekijang tidak melepaskan peluang bagi menyertai pertandingan ini.
Bukan main bersemangat mereka bermain namun nasib tidak menyebelahi mereka. Mereka hanya memperolehi tempat ke-5. Insyaallah ..ruang masih lagi terbuka dan peluang masih ada. Perjuangan tidak perlu berhenti disini saja ...teruskan perjuangan dan mantapkan lagi permainan.

Koperasi Peserta Rancangan Felcra Sekijang Bhd.


Koperasi Peserta Rancangan ( KPR ) Felcra Sekijang Berhad telah didaftarkan pada 22 Mac 1988. Nombor pendaftaran koperasi adalah ' KOOP. Kawasan 276' dengan keanggotaan seramai 172 orang peserta.

Pada awal operasi, KPR Sekijang hanya memperolehi keuntungan yang sederhana sahaja, mungkin ianya bidang baru diceburi. Atau mungkin kerana tiada pengalaman dan ilmu pengetahuan yang cukup. Tapi KPR telah mengorak langkah dengan lebih mantap dengan memperolehi keuntungan yang tinggi pada tahun 1994 hingga 1996. Pada tahun 1995 KPR telah mencatat keuntungan tertinggi dalam sejarah KPR Sekijang dimana memperolehi keuntungan berakhir 31 Disember, 1995 berjumlah RM 486,971.99.

Walau bagaimana pun mulai tahun 1997 KPR melalui zaman merudum sehingga tahun 2006. Tetapi sejak tahun 2007 KPR telah dapat bangun semula untuk meneruskan perjuangan dalam bidang ekonomi yang diceburi oleh peserta Felcra Sekijang. Alhamdulillah dalam mesyuarat agung KPR kali ke-22 pada 27/5/2010 lalu KPR Sekijang Bhd telah mencatat keuntungan berakhir 31 Disember, 2009 berjumlah RM 163,725.60. Teruskan usaha demi kejayaan...

Isnin, Jun 28, 2010

WADIRA Felcra Sekijang


WADIRA adalah singkatan nama bagi pertubuhan Wanita Dinamis Felcra. Ianya ditubuhkan bagi menyatukan kaum wanita samada peserta, isteri peserta dan anak peserta. Ianya juga bertujuan menggalakan kaum wanita berkecimpung dalam berpesatuan. Dengan cara ini secara tidak langsung dapat pihak Felcra menyalurkan maklumat kepada keluarga peserta.


Pentadbiran Felcra Sekijang tidak ketinggalan dalam merealisasikan aktiviti ini dengan menubuhkan Wadira pada tahun 18 Februari, 1981.Pada 29 Oktober, 2009 yang lalu Wadira Felcra Sekijang telah mengadakan Mesyuarat Agung kali ke-9 yang telah dirasmikan oleh Pegawai Pemasaran PBWJ, Cik Hashaniza iaitu wakil Pengurus Besar Wilayah Johor.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh Wadira Sekijang adalah gotong-royong, katering, program membaca Yaasin, Kelas fardhu ain dan Kelas tajuid. Manakala program ekonomi pula Wadira Sekijang menjalankan projek Sambal Iakan Bilis. Projek ikan bilis ini adalah projek individu.

Infrustruktur Perkampungan Felcra Sekijang

Perkampungan Felcra Sekijang pada awal pembukaannya pada tahun 1981 adalah sebuah kampung yang tiada apa yang patut dibanggakan. Terletak sejauh 9 km dari jalanraya Labis-Segamat,.....tapi kini semuanya telah berubah. Seiring dengan pembangunan negara, Perkampungan Felcra Sekijang turut merasai nikmat pembangunan.
Satu persatu kemudahan awam telah memasuki kawasan perkampungan.



Pada awalnya adalah penyaluran air oleh SAJ, bekalan elektrik oleh TNB serta jalan premix. Selain daripada itu kemudahan awam untuk kegunaan masyarakat tidak dilupakan seperti surau, taman permainan, Pusat Sumber, Balairaya dan mini astaka.

Felcra berhad sentiasa bekerjasama dengan agensi luar bagi memberikan nikmat pembangunan kepada masyarakat peserta di Perkampungan Felcra Sekijang.

Mengikut maklumat terkini pada tahun 2010 ini masyarakat peserta di perkampungan ini akan mendapat kemudahan sebuah gelanggang futsal yang bernilai RM 150 ribu. Semoga dengan adanya kemudahan tersebut akan menjadikan masyarakat peserta lebih bersyukur dalam mengharungi kehidupan dimasa akan datang.

Pertandingan Bolasepak 4 Penjuru

Bermula pada tarikh 26/6/2010 satu pertandingan bolasepak 4 penjuru akan diadakan di Felcra Sekijang. Program Pertandingan Bolasepak 4 Penjuru adalah salah satu acara tahunan yang diadakan bagi mengeratkan hubungan masyarakat berhampiran seperti Felda Kemelah dan Risda Sekijang.Pada tahun lalu Felcra Sekijang menjadi tuan rumah manakala tahun ini pula giliran Risda Sekijang sebagai tuan rumah.

Program ini mendapat sambutan yang baik daripada penduduk dan juga pihak Yang Berhormat. Setiap pasukan dikehendaki menjelaskan yuran pendaftaran bagi menyertai program iaitu sebanyak RM 180.00. Wang tersebut akan digunakan untuk hadiah dan juga penyediaan minuman semasa pertandingan dijalankan.

Pada perlawanan awal 26/6/2010, pasukan Felcra Sekijang telah bertemu Risda Sejang. Kemenangan memihak kepada Felcra Sekijang dengan 2-1. Manakala perlawanan antara Felda Kemelah (Johan tahun lalu) dengan Pekerja Indonesia berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Perlawanan seterusnya akan diadakan pada tarikh 3/7/2010 dengan perlawanan yang lebih menarik dan mendebarkan. Kita tunggu keputusannya nanti....sabar....

Ahad, Jun 27, 2010

Sekijang...Oh...Sekijang

Ingat tak pada awal tahun 2009 dimana nama Felcra Sekijang menjadi senarai Top 10. Apa tidak nya berita perihal Felcra Sekijang masuk dalam TV3. Kisah menarik yang menjadikan Felcra Sekijang popular iaitu kisah yang dibawa oleh segelintir peserta yang kecewa. Bukan kecewa dengan felcra tetapi kecewa kerana tak dapat kekalkan jawatan dalam senarai AJKKP dan ALP koperasi. Itu yang libatkan nama Felcra. Felcra wilayah dan ibupejabat jadi gempar tapi staf di Sekijang jua yang melalui kerenah ini lebih dekat. Kesabaran, ketabahan dan kekuatan mental menjadi azimat dalam menangani situasi seperti itu.
Koperasi sebelum ini boleh dikatakan lumayan tapi akhirnya menjadi miskin disebabkan oleh sifat segelintir yang bernama manusia. Anggota Koperasi perlu buat perubahan bagi menyelamatkan koperasi (milik ramai peserta ) bukan untuk menyelamatkan satu orang peserta.
Marilah kita sama-sama tatapi petikan siaran TV3 untuk renungi imbas kembali peristiwa tersebut.

Apabila tiba akhir zaman sememangnya banyak orang munafik, antaranya bila berkata dia bohong. Di akhir zaman juga akan kita jumpa orang akan lebih percaya perkara yang bohong daripada perkara benar.
"Gajah mati tinggalkan tulang, Harimau mati tinggalkan belang, Manusia mati tinggalkan nama (perkara yang elok)
"

Sabtu, Jun 26, 2010

Persatuan Belia Karisma Felcra Sekijang


Persatuan Belia Karisma Sekijang telah dengan rasminya didaftarkan pada 16 Julai 2008 dengan pendaftaran nombor PPBM 0259/08. Bukan main gembira lagi bebudak belia Felcra Sekijang bila persatuan dah didaftarkan. Sebenarnya persatuan belia Sekijang telah lama ditubuhkan iaitu sejak tahun 2000 lagi, cuma tak daftar je...Bila dah daftar maka melimpah peruntukan diterima samada dari pihak Felcra mau pun Pejabat Belia Daerah Segamat.


Macam-macam aktiviti dirancang dan dilaksanakan, umpamanya seperti sukaneka, Futsal, bola jaring, perlawanan bolasepak 4 penjuru yang melibatkan Felda Kemelah dan Risda Sekijang. Selain daripada itu program untuk anak-anak juga dilaksanakan seperti program mewarna dan mewarna. Bukan main seronok lagi anak-anak tu buat kerja. Ini adalah bertujuan bagi merapatkan silaturahim antara belia dengan keluarga masyarakat Felcra Sekijang. Pihak Felcra Sekijang amat berbangga sekiranya belia terus memberikan komitmen dalam menjayakan misi Felcra untuk menjadikan masyarakat Felcra yang bersyukur disamping dapat memberikan informasi terkini Felcra.

Kursus Peningkatan Kecekapan Pentadbiran & Pengurusan Tanah

Kursus telah diadakan pada 22-24/6/2010 bertempat di Hotel New York Johor Bahru. Seramai 36 orang terlibat dalam program ini yang melibatkan 5p dan kerani bagi Wilayah Johor dan Sarawak.
Antara pengisian program pada hari pertama ialah ceramah berkenaan Pengurusan Pembahagian Harta Pusaka yang disampaikan oleh En Abd Aziz b Ali daripada Unit Pembahagian Pusaka Negeri Johor. Manakala Hj Zainul Anzaid b Hj Seman (Pengurus Kanan Khidmat Peserta ) telah menyampaikan ceramahnya yang bertajuk Pengurusan Tatatertib dan Perlaksanaan RUKUNMAS.
Pada hari kedua pula ceramah berkenaan Asas Perundangan Tanah Bawah Kanun Tanah Negara (KTN) serta pendaftaran kaveat oleh En Saidun b Salim daripada Institut Tanah & Ukur Negara (INSTUN). Sebelah malam pula En Shahdan b Atan daripada Cawangan Tanah & Ukur Ibupejabat telah memberikan ceramah bertajuk Proses Pengukuran Projek, Pewartaan & Permohonan Hakmilik Peserta dan Felcra Holding.
Pada hari terakhir iaitu 24/6/2010 Penasihat Undang-Undang Ibu Pejabat yang diketuai oleh Cik Amirah Kautsar bte Basiron telah menyampaikan ceramah bertajuk Pengurusan Isu & Perundangan Tanah Melibatkan Peserta. Sebelum berakhirnya majlis En Mior Jamludin b Mior Hamzah telah telah menyempurnakan majlis penutup dengan perbincangan dan isu.

Jumaat, Jun 25, 2010

Lawatan Ke Bio-Valley Felcra Seberang Perak


Felcra telah mengadakan program lawatan untuk Pengurus Kawasan dan 5p yang akan melaksanakan aktiviti ternakan lembu fidlot Plasma A ke Projek Bio-Valley Felcra Seberang Perak pada 11-13/5/2010.

Program tersebut amat bermakna kerana dapat memberi input berguna kepada staf berkenaan dalam melaksanakan projek nanti.Dalam program tersebut antara pengisian yang dimuatkan adalah ceramah serta lawatan.

Gerak Mesra Warga Desa


KEMAS Parlimen Sekijang dengan kerjasama Felcra Sekijang dan JKKKK Sekijang telah mengadakan Program Gerak Mesra Warga Desa bertempat di Padang Awam Felcra Sekijang pada 17 April 2010. Program tersebut bertujuan untuk mengukuhkan ikatan silaturrahim dikalangan warga KEMAS dengan masyarakat warga desa serta agensi. Antara aktiviti menarik yang dilaksanakan adalah tarian poco-poco, sukaneka, mewarna untuk kanak-kanak bawah enam tahun, pertandingan memasak, menulis buku menu serta bersajak.




Penyertaan peserta amat menggalakan dan program pada hari tersebut meriah dan dianggap telah berjaya menjana keharmonian masyarakat.Pihak Felcra amat mengalu-alukan program seperti ini diadakan di kawasan perkampongan Felcra dan berharap ianya dapat diadakan lagi untuk dimasa akan datang.

Program tersebut telah dirasmikan oleh wakil Parlimen Sekijang En Ahmad bin Bakarim.

Khamis, Jun 17, 2010

SEKIJANGKU HARMONI


Perkampungan Felcra Sekijang terletak didalam mukim Sg. Segamat, daerah Segamat, Johor. Tapak perkampungan telah dikurniakan kepada peserta pada tahun 1981.


Felcra telah memajukan ladang seluas 749 hektar dengan tanaman getah pada tahun 1970. Manakala pengambilan peserta dibuat pada 7/9/1975 bersamaan 1 Ramadhan 1396. Peserta telah dikurniakan tanah ladang dengan keluasan 8 ekar seorang.


Peserta adalah terdiri daripada penduduk kampung yang berdekatan seperti Kg Jawa, Kg, Gudang Garam, Jementah, Kg Sawah Baru , Kemelah dan Kg Sekijang.


Disebabkan lokasi ladang adalah bersebelahan dengan penempatan Felda Kemelah serta Kg Sekijang, iaitu sebuah kampung tradisional, maka Felcra mengambil nama Sekijang sebagai nama ladang dan perkampungan Felcra.
Mengikut cerita orang dulu-dulu, asal usul nama Kg Sekijang diambil sempena nama sejenis binatang buruan yang dinamakan 'KIJANG'. Binatang tersebut banyak berkeliaran dihutan berhampiran dan ramai pemburu yang tang daripada kampong berdekatan memburu binatang tersebut untuk dijadikan lauk sekeluarga. Kebiasaan pemburu tidak akan hampa untuk membawa buruan pulang bersama mereka. Dan akhirnya sebutan tersebut 'KIJANG' terpahat dibibir mereka dan penduduk sekitar sehingga kampong tersebut dinamakan Kampong Sekijang.

Program Sukan Anjuran DUN Kemelah

UMNO Dun Kemelah dengan kerjasama Belia Karisma Felcra Sekijang telah mengadakan program sukan Futsal dan Bola Jaring pada 20/6/2010 bertempat di Padang Awam Felcra Sekijang.

Sebanyak 10 pasukan Futsal dan 4 pasukan bola jaring telah menyertai program tersebut. Program bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada sebelah petang.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Ayub bin Rahmat (ADUN kawasan Kemelah)dengan penyampain hadiah kepada pemenang.

Program ini adalah untuk mengajak belia serta masyarakat untuk sentiasa aktif dalam bersukan. Selain itu ianya juga bertujuan untuk menghindari masyarakat daripada terjerumus dalam gejala sosial.

Kesediaan YB Ayub untuk turun padang amat dihargai dan disenangi masyarakat.