Selasa, Julai 27, 2010

Sambutan Nisfu Sya'aban 1431 h

Alhamdulillah....tahun ini 2010/1431 h berjumpa lagi kita dengan bulan sya'aban. Sambutan secara sederhana tetap dilaksanakan oleh warga Felcra Sekijang. Antara pengisian utama program ialah ceramah agama. Majlis dilaksanakan pada 27/7/2010 bersamaan 15 Sya'aban 1431h bertempat di Surau Al-Hidayah Felcra Sekijang pada jam 7.45 malam. Pada kali ini penceramah undangan yang dijemput adalah Ustaz Mohd Kamal bin Mohd Said (Pengetua Sek. Men.Agama Arabiah Kluang). Mudah-mudahan apa yang disampaikan dapat ahli kariah surau di Felcra Sekijang hayati dan amalkan untuk bekalan akhirat.

Kelebihan bulan Sya`ban.

(Dari Kitab Kelebihan Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Ustaz Budiman Radhi)

1. Sabda Nabi s.a.w bermaksud: Apabila masuk bulan sya`ban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan sya`ban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu.(Al-hadis)

2. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan sya`ban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka . Dia akan menjadi teman nabi Allah Yusuf a.s. di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala nabi Allah Ayob a.s dan nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan bulan sya`ban, dimudahkan Allah atasnya sakratul maut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huruhara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari Qiamat, dan diwajibkan Syurga baginya.(Al-hadis)

3. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan sya`ban dan akhir khamis daripada sya`ban, dimasukkan dia ke dalam Syurga. (Al-hadis dari kitab Al barkah).

4. Berkata Siti A`isyah r.a.h, bulan yang lebih dikasihi oleh Rasullullah s.a.w ialah bulan Sya`ban.

5. Sabda Nabi s.a.w: Sya`ban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Sya`ban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani).(Al-Hadis).

6. Sabda Nabi s.a.w : Bahawa puasa Sya`ban kerana membesarkan Ramadhan, siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Sya`ban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatkan rezekinya. Antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah ta`ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat. (Al-Hadis).

7. Sabda Rasullullah s.a.w: Dinamakan Sya`ban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa yang lebih afdal sesudah (selain) Ramadhan ialah puasa bulan Sya`ban.(Al-hadis).

8. Sabda Nabi s.a.w: Bahawa kelebihan Rejab atas bulan -bulan yang lainnya seperti kelebihan Quran ke atas segala Qalam. Kelebihan Sya`ban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan atas segala ambia(nabi-nabi). Kelebihan Ramadhan atas bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas segala makhluknya. (Al-hadis)

9. Bulan Sya`ban, keagungan malamnya dengan malam nisfu Sya`ban, sepertimana keagungan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya, dan keagungan Ramadhan dengan malam Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Sya`ban telah datang Jibril kepada Rasul s.a.w lalu katanya: Angkat kepalamu kelangit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus pintu rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang tiada menyekutukan (syirik) dengan-Nya sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal di dalam zina, kekal minum arak, durhaka terhadap ibubapa.(Al-hadis)

10. Sabda Nabi s.a.w: Allah menilik kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Sya`ban maka diampunkan dosa segala makhluknya melainkan orang syirik dan orang yang tiada bertutur dengan saudaranya.(Al-hadis)

11. Sabdanya lagi: Apabila pada malam Nisfu Sya`ban maka berjagalah kamu pada malamnya bersembahyang, beribadah, dan puasa kamu pada siangnya. Allah berfirman: Adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang yang ditimpa bala` Aku a`fiatkannya. Adakah orang yang meminta rezeki maka Aku rezekikannya, demikianlah pertanyaan lainnya sehingga keluar fajar subuh. (Al-hadis)

12. Tersebut dalam kitab Al-berkat: Bahawa jin, burung, binatang-binatang buas, ikan di laut berpuasa mereka pada hari nisfu Sya`ban.

13. Tersebut di dalam kitab: Bahawa Jibril bersungguh-sungguh pada malam Nisfu Sya`ban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasullullah s.a.w kali keduanya, katanya: Ya Muhammad, gembirakanlah kamu bahawa Allah ta`ala telah mengampunkan segala umatmu orang yang tiada menyekutukan-Nya sesuatu. Angkatkan kepalamu, lalu Rasullullah s.a.w pun mengankatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu syurga. Dalam riwayat yang lain pula menyatakan terbuka segala pintu langit. Pada pintu langit pertama malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang rukuk pada malan ini. Pada pintu langit yang kedua, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang sujud pada malam ini. Pada langit yang ketiga, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang minta doa pada malam ini. Pada pintu langit keempat, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang berzikir pada malam ini. Pada pintu langit kelima, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang menangis takutkan Allah subhanahuwa ta`ala pada malam ini. Pada pintu langit keenam, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang mengerjakan amal kebajikan pada malam ini. Dan pada pintu langit yang ketujuh, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang meminta, maka dikurniakan permintaannya itu, dan pada pintu langit yang kelapan malaikat menyeru: Adakah orang yang meminta ampun maka diampunkan baginya. Bertanya aku kepada Jibril, sampai bilakah terbukanya semua pintu ini (diterima doa), Jibril menjawab: Sehingga naik fajar subuh. Dan katanya lagi: Pada malam ini dimerdekakan hamba-Nya yang mukmin lelaki perempuan dari api neraka sebanyak bulu kambing bani kalab (bani kalab diantara orang-orang arab yang paling banyak memelihara kambing). Dalam satu riwayat yang lain pula bahawa Allah memerdekakan hamba-Nya daripada neraka sebanyak bintang-bintang dilangit dan sebanyak hari dunia dan malamnya. Pada malam inilah dihantarkan Allah akan jibril ke Syurga untuk menghiasi syurga.

14. Barangsiapa membaca,

(Tiada tuhan melainkan Allah, tiada kami sembah melainkan Dia, dengan ikhlas lagi teguh atas dasar agama (tauhid) walaupun dibenci oleh orang-orang kafir)

ditulis Allah baginya ibadat seribu tahun, dan dihapuskan daripadanya dosa seribu tahun, dan keluarnya dari kubur, mukanya seperti bulan purnama dan ditulis pada Allah taa`la orang benar siddiq (orang yang benar).

15. Allah tidak akan mengampunkan dosa pada malam nisfu sya`ban enam orang;

1) Orang yang kekal minum arak

2) Orang yang durhaka kepada ibubapa

3) Orang yang kekal dalam zina

4) Orang yang banyak berkelahi

5) Orang yang melakukan perjualannya dengan sumpah yang dusta

6) Orang yang memperlakukan orang supaya kelahi (Al-hadis).

16. Riwayat daripada Usman, sabda baginda Rasullullah s.a.w: Pada malam nisfu Sya`ban setelah berlaku 1/3 malamnya, Allah turun ke langit dunia lalu berfirman: Adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintaannya, adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka Aku taubatkan akannya, dan diampunkan bagi sekalian orang mukmin lelaki perempuan, melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya. (Al-hadis)

17. Sabda Nabi s.a.w: Ya A`isyah! Adakah engkau izinkan aku sembahyang pada malam ini? Jawab A`isyah: Ya, aku izinkan lalu nabi pun bersembahyanglah sepanjang malam nisfu Sya`ban itu, beliau sujud terlalu lama masanya, sehingga aku sangka beliau telah diambil ruhnya (mati), lalu aku tutupkannya dengan kain, aku letakkan tanganku di atas dua tapak kakinya. Maka bergerak ia, gembiralah aku kerana beliau masih bernafas lagi, dan aku dengar beliau membaca di dalam sujudnya:

(Aku berlindung dengan kemaafan Engkau daripada siksa Engkau, dan aku berlindung dengan keredhaan Engkau daripada kehinaan Engkau, dan aku berlindung dengan Engkau daripada kejahatan yang datang daripada Engkau, aku tiada terhingga memuji Engkau sepertimana Engkau memuji diri Engkau). Nabi menyuruh A`isyah mengamalkan doa ini dalan sujud. (Al-hadis)

18. Sesiapa sembahyang pada malam nisfu Sya`ban daripada umat Muhammad s.a.w terlebih afdal daripada ibadatnya 400 tahun. Demikian Allah memberi tahu kepada nabi Isa a.s lalu Isa a.s pun berdoa kepada tuhan: "Mudah-mudahan aku daripada umat Muhammad s.a.w".

(Nabi Isa akan diturunkan di akhir zaman untuk menegakkan syiarkan Islam menentang orang musyrikin, insyaallah).

19. Telah disebut empat malam istimewa tentang beribadah (berbuat amal kebajikan), iaitu malam Nisfu Sya`ban, malam Aidil Fitri pertama, malam Aidil Adha pertama, dan malam Arafah. Disambungkan malam Lailatul Qadar kerana bahawasanya malam rahmat dan merdeka daripada api neraka. Sesiapa sepanjang malam Ramadhan atau sepanjang sepuluh yang terakhir daripada Ramadhan umat Muhammad s.a.w berlumba-lumba dalam ibadah dengan berjaga malamnya. Demikian pula saat mustajab doa pada hari jumaat. Demikian pula disambungkan Asma Allah Al Azdhim (nama Allah yang teragung) di dalam Asmaul Husna yang amat mustajabkan doa padanya.

Amalan pada malam Nisfu Sya`ban.

Apabila telah selesai sembahyang Maghrib, hendaklah bi baca surah "Yaa Sinn" dengan niatkan mohon panjangkan umur dalam mentaati Allah, kemudian dibaca doa-doanya. Kemudian dibacakan surah "Yaa Sinn" pula kali keduanya dengan diniatkan diluaskan Allah rezekinya yang halal dan diberkati-Nya, kemudian lalu dibacakan doa-doanya. Kemudian dibacakan surah "Yaa Sinn" kali ketiganya pula serta diniatkan minta ditetapkan iman dan mati dalam iman, kemudian dibacakan doa-doanya.

Khamis, Julai 22, 2010

Surau Felcra Sekijang Yang Indah


Alhamdulillah ...kerja-kerja pembaikan surau Felcra Sekijang telah pun siap pada hari ini 19/7/2010. Antara pembaikan yang dibuat adalah penambahan ruang solat dan pemasangan kipas angin. Kerja-kerja tersebut adalah daripada sumber Felcra, manakala pembaikan tandas dan tempat mengambil wuduk adalah daripada peruntukan pejabat Daerah Segamat.
Mudah-mudahan peserta dapat mengambil iktibar dengan kemudahan yang disediakan agar jadikan tempat ibadah tersebut sebagai pertemuan yang harmoni.
'SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK'

Rabu, Julai 21, 2010

Keceriaan Balairaya & Padang Bola



Pentadbiran Kawasan Sekijang sentiasa berhasrat untuk mengindahkan lagi.suasana prasarana di Perkampungan Felcra Sekijang. Apabila pemandangan menarik, ianya akan dapat menenangkan jiwa masyarakat didalam perkampungan.
Bagi tahun 2010 cadangan mengindahkan pintu masuk perkarangan balairaya telah tercapai. Peruntukan pembinaan signboard balairaya telah diterima. Kini pembinaannya telahpun siap dan pemasangan papan tanda padang bola juga telah didirikan. Dengan pemasangan papantanda tersebut akan lebih menceriakan perkampungan Felcra Sekijang.
Terima kasih ....

Khamis, Julai 15, 2010

Saat Pertemuan Malam Pertama


Satu hal sebagai bahan renungan Kita...

Marilah merenungkan indahnya malam pertama
Tapi bukan malam penuh kenikmatan duniawi semata
Bukan..bukan...malam pertama masuk ke peraduan Adam Dan Hawa
Justeru malam pertama perkahwinan kita dengan Sang Maut
Sebuah malam yang meninggalkan isak tangis sanak saudara


Hari itu...mempelai sangat dimanjakan
Mandipun...harus dimandikan
Seluruh badan Kita terbuka....
Tak ada sehelai benangpun menutupinya. .
Tak ada sedikit pun rasa malu...


Seluruh badan digosok dan dibersihkan
Kotoran dari lubang hidung dan anus dikeluarkan
Bahkan lubang-lubang itupun ditutupi kapas putih...
Itulah jasad Kita waktu itu

Setelah dimandikan.. ,
Kitapun kan dipakaikan gaun cantik berwarna putih
Kain itu ...jarang orang memakainya
Kerana sangat terkenal bernama 'Kafan'
Wangi-wangian ditaburkan kebaju Kita...
Bahagian kepala,badan dan kaki diikatkan


Tataplah.... tataplah. ..itulah wajah Kita
Keranda pelamin... langsung disiapkan
Pengantin bersanding sendirian...
Mempelai diarak keliling kampung yang dihadiri tetangga
Menuju istana keabadian sebagai simbol asal usul


Kita diiringi langkah longlai seluruh keluarga
Serta rasa haru para handai taulan
Gamelan syahdu bersyairkan adzan dan kalimah Dzikir
Akad nikahnya bacaan talkin....
Berwalikan liang lahat..
Saksi-saksinya batu-batu nisan.... yang telah tiba duluan


Siraman air mawar.. tanda akhir kerinduan
Dan akhirnya.... tiba masa pengantin..
Menunggu dan ditinggal sendirian,
Mempertanggungjawab kan seluruh langkah kehidupan
Malam pertama yang indah atau meresahkan..
Ditemani rayap-rayap dan cacing tanah


Di kamar bertilamkan tanah..
Dan ketika 7 langkah telah pergi....
Sang Malaikat lalu bertanya.
Kita tak tahu apakah akan memperoleh Nikmat Kubur...
Sebuah taman yang indah, nyaman, selesa dan terhibur
Atau Kita kan memperolehi Kubur empunya Siksa.....
Lubang yang gelap gelita penuh sengsara dek dipaksa
Kita tak tahu...Dan tak seorangpun yang tahu....


Marilah kita membuat pertimbangan
Atau muhasabah dalam kehidupan kita,
Sebelum kita menuju ke ''Malam Pertama Kita''
Untuk berjumpa ALLAH Azzawajalla.

Wallahualam...

Ahad, Julai 11, 2010

Demam Bolasepak....

Perlawanan Bola sepak 4 penjuru minggu ke-3 semakin rancak. Apa tidaknya sama panasnya seperti pertandingan piala dunia. Pada 10/7/2010 perlawanan antara Risda dengan Indon berakhir dengan memihak kepada Risda 5-0. Manakala pada hari kedua pertemuan antara Felcra dengan Felda berakhir dengan kemenangan bagi pasukan Felda iaitu 2 berbalas 1.
Dengan ini pertemuan akhir bagi menentukan juara adalah pada 18/7/2010 antara Felcra Sekijang dengan Felda Kemelah.
Mata bagi kumpulan:-
Felcra Sekijang - 6 mata
Felda Kemelah -5 mata
Risda Sekijang - 4 mata
Indon Sekijang -1 mata

Kita tunggu hari yang mendebarkan.....18/7/2010...siapa bergelar sang juara...

Jumaat, Julai 09, 2010

Pengambilan Darah Filariasis


Dengar saja ada program pengambilan darah Filariasis (Untut) macam-macam ragam didengar daripada peserta dan keluarga peserta. Ada yang seram sejuk untuk diambil darah bagi tujuan ujian Filariasis. Macam-macam alasan dan dalih yang diberikan untuk tidak pergi ke program tersebut yang diadakan pada 7 - 8 Julai 2010 bertempat di Balairaya Felcra Sekijang.


Program tersebut dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Segamat bagi menjalankan pengesanan penyakit Filariasis ( lebih dikenali sebagai kaki gajah) di Perkampungan Felcra Sekijang. Program tersebut dijalankan selama 2 hari (7-8/7/2010) bermula jam 8.00 malam hingga 10.00 malam.

Mudah-mudahan penduduk di Perkampungan Felcra Sekijang dijauhi penyakit untut.....Aamiin.

Selasa, Julai 06, 2010

Pembaikan Surau Felcra Sekijang


Pembaikan bangunan surau Felcra Sekijang sedang giat dilaksanakan. Kerja-kerja menambah ruang solat di bahagian hadapan pintu masuk mula dijalankan pada 22/06/2010 lalu. Mudah-mudahan dengan sedikit penambahan ini akan menceriakan lagi suasana di surau. Ceria dengan jemaah serta suasana yang mendamaikan kerana surau adalah tempat ibadah serta mencari ilmu.

Pentadbiran Felcra sentiasa menjaga kebajikan peserta serta masyarakat setempat. Tapi kekadang yang peliknya sedikit perkara yang buruk suka diperbesarkan manakala perkara baik yang membukit langsung tidak dipeduli. Manusia..manusia...

Isnin, Julai 05, 2010

Bakal Juara !!!!


Masih lagi bercerita pasal perlawanan bola sepak 4 penjuru. Kali ini masuk minggu yang kedua sebab perlawanan hanya diadakan pada setiap hari sabtu dan ahad saja.
Perlawanan minggu ini ( 3-4 Julai 2010) lebih menarik lagi kerana semua pasukan nak cari mata kemenangan. Kali ini pada 3/7/2010 pasukan Felcra Sekijang telah bertemu pasukan Indon dan berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada Felcra Sekijang dengan 1 gol tanpa balas. Dengan ini pasukan Felcra Sekijang telah menang 2 perlawanan dengan mendapat 6 mata.

Manakala perlawanan seterusnya pada 4 /7/2010 pula antara pasukan Felda Kemelah dengan pasukan Risda hanya seri 2-2.

Mata tertinggi antara 4 buah pasukan ialah pasukan Felcra Sekijang. Tahniah... Insyaallah mingu hadapan pada 10/7/2010 pasukan Felcra Sekijang akan bertemu pasukan Felda Kemelah.


Teruskan perjuangan mu dengan semangat kental....wahai pasukan Felcra Sekijang. Kalau ada pasukan daripada kawasan lain yang nak chalenge, bila-bila masa sedia menyambut cabaran.

Khamis, Julai 01, 2010

Pacaragam Felcra Tuang Kajang


Bertempat di Perkampungan Orang Asli, Kg Segamat Kecil, Segamat. Walaupun jauh dari jalan besar Segamat-Labis kira-kira 14 km namun peserta disini berpakat dan sepakat dengan barisan AJKKP Tuang Kajang untuk menubuhkan kumpulan muzik.



Tanggal pada 20 April 2009 AJKKP Tuang Kajang telah bermurah hati menyediakan peralatan muzik untuk digunakan oleh belia Felcra Tuang Kajang. Tok Batin Ariffin bin Nong menjadi peraju utama mengendalikan kumpulan ini.


Lagu-lagu 60an menjadi kegemaran kumpulan ini disamping lagu-lagu moden. Kumpulan ini sering mendapat undangan dalam majlis-majlis perkahwinan. Selain itu Felcra Wilayah Johor pernah mengundang mereka untuk persembahan semasa majlis HariRaya 2009 bertempat di Kluang.