Rabu, Jun 27, 2012

MESYUARAT AGUNG BELIA FELCRA SEKIJANG (PBFe)

Setelah diluluskan oleh Pejabat Pendaftar pada 20/12/2011 dengan nombor pendaftaran PPBM 7840/11 Persatuan Belia Felcra Sekijang (PBFe) telah mengadakan mesyuarat agung pertamanya pada 20/6/2012. Majlis telah dirasmikan oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Segamat En Zulzharif bin Mat Nawi dengan kehadiran ahli seramai 48 orang. Majlis bersidang di Balairaya Felcra Sekijang pada jam 9.00 malam.
Semoga dengan tertubuhnya Persatuan Belia Felcra Sekijang akan memantapkan lagi pergerakan belia di Felcra Sekijang itu sendiri. Ini kerana persatuan belia sediada iaitu Persatuan Belia Karisma Felcra Sekijang dapat berganding bahu untuk mengatur program ahli. Persatuan Belia (PBFe) lebih luas keahliannya kerana ianya meliputi Projek Felcra Tuang Kajang (Perkampungan Orang Asli Segamat Kecil).
Pentadbiran Felcra berharap kedua persatuan ini sentiasa berkerjasama dan berganding bahu untuk membawa mercu kejayaan dan kecemerlangan kerana Belia itu Nadi Felcra .

MESYUARAT AGUNG KPR FELCRA SEKIJANG BHD KALI KE-24

Bijih Timah bijih besi,
Diangkut dengan keretapi,
Kesetiaan Anggota tunggak koperasi
Laba dinikmati bersama dikecapi.

Begitulah dengan koperasi, tanpa anggota tiada dinamakan koperasi. Tanpa kerjasama anggota maka tiada aktiviti akan dilaksanakan. Koperasi dan anggota tiada boleh dipisahkan ibarat isu dengan kuku.
Kini Koperasi Peserta Felcra Sekijang Berhad telah berjaya mengadakan mesyuarat agung ke -24 pada 27/6/2012 (Rabu) bertempat di Balairaya Felcra Sekijang. Majlis telah dirasmikan oleh En Ismail Bin Mat Hasan Pengurus Sosial Felcra Berhad Wilayah Johor. Antara jemputan yang hadir adalah Pengurus Kawasan Felcra Sekijang En Mokhtar bin Mohd Amin, Pn Supiah bte Samsuri Penolong Pembantu Ekonomi SKM Wilayah Segamat, En Ab Rahman bin Ibrahim Pengurus KPFB Wilayah Johor, En Hasan bin Talib Ketua Kampung Sekijang, Pn Nurulain bte Samsuri Eksekutif Pembangunan Sosial dan En Selamat bin Tumin Ketua Peserta Felcra Projek Sekijang.
Kehadiran anggota amat menggalakan iaitu seramai 109 orang berbanding 107 pada tahun 2011. Koperasi juga dapat mengagihkan dividen kepada anggota sebanyak 10% kepada anggota.
Terima kasih semua yang terlibat atas kerjasama menjayakan mesyuarat agung KPR Sekijang kali ke-24.