Khamis, Disember 16, 2010

PUASA 'ASYURA

MAKAN SAHUR.....Ahhh......
Berat betul nak bangun pagi jam 4.30 pagi. Kalau bulan Ramadhan tak menjadi masalah kerana ianya sudah biasa sebab semua umat yang bernama umat Muhammad bangun sama. Tapi bila nak puasa 'Asyura ni memang berat rasanya , banyak godaan.

COBAAAAAN ...kata seniman agung P Ramlee

Disini aku nak berkongsi bersama-sama kekawan tentang Hari 'Asyura. Ada beberapa hadis yang sohih mengenai kelebihan berpuasa pada 10 Muharram yang dikenali sebagai hari Asyura.

Daripada Ibnu Abbas telah berkata : Apabila Rasulullah saw tiba di Madinah maka baginda telah melihat orang yahudi berpuasa pada hari kesepuluh (Muharram) maka baginda bertanya yang bermaksud : Apakah ini?.

Maka jawab mereka : Ini merupakan hari yang baik yang mana pada hari inilah Allah swt menyelamatkan bani Israel daripada musuh mereka maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Maka sabda baginda saw.: Maka aku lebih layak dengan nabi Musa daripada kamu maka baginda berpuasa pada hari ini. Dan baginda menyuruh untuk berpuasa pada hari ini.

Telah dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud -
Daripada Abdullah bin Mabad az-Zamani daripada Abu Qatadah bahawa nabi saw telah bersabda yang bermaksud : Berpuasa pada hari 'Asyura (kesepuluh Muharram) sesungguhnya aku mengharapkan atas Allah swt bahawa Dia akan menghapuskan dosa setahun yang sebelumnya.

Diriwayatkan oleh imam Tarmizi -
Daripada Ibnu Shihab daripada Hamid bin Abdul Rahman bahawa dia telah mendengar Muâ'awiyah bin Abu Sufian berucap pada hari 'Asyura di atas mimbar : Wahai penduduk Madinah! Dimanakah ulama' kamu?

Aku telah mendengar Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud : Ini adalah hari 'Asyura dan Allah tidak mewajibkan ke atas kamu berpuasa. Aku berpuasa (pada hari ini) maka sesiapa yang mahu berpuasa berpuasalah dan sesiapa yang mahu (berbuka) maka berbukalah.

Dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud -
Hadis ini menjelaskan kepada kita berkenaan dengan kelebihan berpuasa pada hari 'Asyura. Ulama' juga berpesan agar kita turut berpuasa pada hari kesembilan Muharram bagi membezakan antara puasa kita dengan yahudi yang berpuasa pada hari kesepuluh Muharram.

Yahudi berpuasa pada hari tersebut kerana pada 10 Muharamlah nabi Musa dan pengikutnya diselamatkan daripada Firaun dan tenteranya yang zalim. Hukum berpuasa pada hari ini adalah disunatkan bukannya satu kewajipan.

Siapa yang mahu berpuasa maka bolehlah berbuat demikian dan ganjaran yang besar dijanjikan kepada mereka yang berpuasa pada hari ini iaitu diampuni segala dosanya pada tahun-tahun yang lalu.

Semoga kita dapat menggunakan segala peluang yang ada untuk menambahkan amalan sebagai bekalan di akhirat nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan